Published on 9 January 2019
PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) mengumumkan pelantikan Ir Dr Sanjayan Velautham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa hari ini.
SEDA dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Sanjayan diyakini dapat memperbaharui agenda tenaga negara serta mencapai sasaran pengeluaran tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 20 peratus menjelang 2025.
“Latar belakang Sanjayan yang luas serta berpengetahuan mengenai industri tenaga adalah perkara penting dan sangat relevan kepada SEDA,” katanya.
Menurut SEDA, Sanjayan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif ASEAN Centre for Energy (ACE) yang berpusat di Jakarta, Indonesia sejak 2005.
“Beliau, yang juga seorang jurutera profesional mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan, mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam industri, akademik dan institut penyelidikan.
“Selain itu, beliau turut berpengalaman 15 tahun dalam industri tenaga dan pernah bekerja di Singapura sebelum mengambil alih tugas sebagai Pengarah Eksekutif ACE,” katanya.
|